Monday, March 7, 2011

Maulana Arif (KEBEBASAN BERSUARA)

Assalamaualaikum,kali ini saya akan post lagi tentang entry Maulana Arif , topik beliau begitu menarik jika dihayati.Agar semua umat islam mengambil iktibar atas apa yang ditulis oleh beliau.Harap semua mendapat manfaat.
JANGAN SALAHGUNA NIKMAT KALAM
``Golongan inilah yang menuntut kebebasan bersuara. Tetapi lihatlah kandungan akhbar yang menjadi suara politik mereka. Hanya dipenuhi dengan tulisan yang memburukkan orang lain, mengumpat, prasangka dan ada kalanya memfitnah.’’
Oleh MAULANA ARRIF
KALAM atau tutur kata adalah kurniaan Allah s.w.t yang amat istimewa kepada manusia. Kalam boleh juga ditakrifkan sebagai kaedah berkomunikasi. Sumbernya adalah akal yang menghasilkan buah fikiran dan dijelmakan melalui mulut dan tangan.
Manusia mula berkomunikasi dengan menggunakan mulut dan bahasa. Melalui perkembangan akal, manusia mencipta tulisan yang dicatat di atas bahan primitif seperti daun, batu, tanah liat, dinding gua dan kulit binatang.
Manusia moden mencipta kertas yang lebih mudah disimpan dan dibawa. Hasilnya ialah manuskrip dalam bentuk buku, risalah, makalah dan surat khabar. Kalam ini dinamakan media cetak.
Perkembangan teknologi menghasilkan alat-alat komunikasi yang lebih sofistikated seperti radio, telivisyen, telefon dan terkini komputer. Lalu dinamakan media elektronik dan media siber.
Pada hari ini segala bentuk media ini diadunkan sebagai kalam yang sangat pantas penyebarannya di bawah teknologi maklumat berkomputer.
Begitulah kehebatan otak manusia menjadikan kalam yang Allah kurniakan begitu pelbagai kegunaan dan pantas penyebarannya. Dalam sekelip mata ia boleh dicapai oleh berjuta pembaca di seluruh dunia. Namun sebagaimana kebanyakan ciptaan manusia, ia dwi kegunaan -- boleh digunakan untuk kebaikan dan juga kejahatan.
Maka berwaspadalah menggunakan kalam. Ia boleh memaju dan memakmurkan negara, tetapi ia juga boleh menyebabkan huru-hara dan porak-peranda. Disebabkan penyebaran maklumat melalui kalam hari ini begitu pantas, kesan baik atau buruknya juga boleh berlaku dalam masa yang singkat.
Lihat sahaja huru-hara yang berlaku di negara-negara Islam sekarang. Bermula di Algeria, ia merebak ke Mesir, Yemen dan Libya. Kalam moden telah membolehkannya berlaku begitu pantas. Sama ada ia membawa kebaikan kepada umat Islam, masa akan memberikan jawapannya.
Dari sudut politik apa yang berlaku di negara-negara Arab itu telah disifatkan sebagai kebangkitan rakyat terhadap pemimpin atau rejim yang terlalu lama memerintah, tidak adil dan menyekat kebebasan. Perkembangan ini memberikan nafas baru kepada golongan penentang dan pembangkang rejim atau pemimpin yang terlalu lama memerintah. Bagi mereka, huru-hara akan melorongkan peluang untuk merebut kuasa.
Di Malaysia yang turut terdedah kepada pengaruh kalam moden, sudah ada suara-suara sumbang yang meramalkan kemungkinan gelombang yang sama akan beralun ke negara ini. Apakah ramalan mereka akan menjadi kenyataan atau sekadar impian?
Puak yang sama berharap gelombang itu akan merebak ke Malaysia dengan alasan di negara ini juga tidak ada kebebasan. Benarkah? Atau ini hanyalah satu strategi untuk meracuni fikiran rakyat supaya membantu mereka menumbangkan kerajaan yang dibenci kononnya kerana sudah terlalu lama memerintah. Disebabkan di Malaysia rakyatnya tidak miskin dan tertekan seperti di negara-negara Arab itu, lalu mereka digula-gulakan dengan ketiadaan kebebasan termasuk kebebasan bersuara.
Benarkan tiada kebebasan bersuara di Malaysia? Apakah golongan ini mengamalkan kebebasan bersuara? Lihat apa yang telah mereka lakukan.
Lihat bagaimana golongan ini menggunakan kebebasan di dunia siber. Internet mereka telah gunakan  sewenang-wenangnya sekian lama untuk memburukkan lawan dengan cara yang bertentangan dengan larangan Allah yang tegas lagi jelas dalam al-Quran.
Anehnya sebilangan mereka mengaku bergama Islam dan beriman kepada al-Quran. Malah ada yang mendakwa mereka lebih Islam daripada orang lain. Tetapi lihat cara mereka berkalam, sama ada di pentas ceramah, dalam akhbar mereka dan di dunia siber.
``Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sessungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu  memakan daging saudaranya yang sudah mati. Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.’’ – 49:12  
Berapa banyak tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh golongan ini ke atas musuh-musuh politik mereka hanyalah berasaskan prasangka. Mereka juga amat gemar mencari-cari kesalahan sehingga ke peringkat memfitnah. Mereka juga suka mengumpat. Sesungguhnya jika beriman, mereka tidak akan melakukan perbuatan ini.
Tetapi mereka terus melakukannya dengan alasan kononnya perkara yang buruk wajib didedahkan kepada umum, sekalipun ke tahap mengumpat. Malangnya sebahgain perkara yang mereka dakwa buruk itu hanyalah berasaskan prasangka sahaja, malah ada kalanya fitnah semata-mata.
Golongan inilah yang menuntut kebebasan bersuara. Tetapi lihatlah kandungan akhbar yang menjadi suara politik mereka. Hanya dipenuhi dengan tulisan yang memburukkan orang lain, mengumpat, prasangka dan ada kalanya memfitnah.
Yang melucukan, salah satu akhbar golongan ini lebih banyak memuatkan iklan `ubat kuat lelaki.’  Apakah seks juga turut menguasai pemikiran mereka?
Suatu masa dulu mereka telah menguasai dunia siber. Lihatlah bagaimana mereka menggunakan internet untuk mengaibkan pemimpin-pemimpin negara, menabur prasangka, meracuni pemikiran rakyat dengan mencari-cari kesalahan orang lain. Blog dan laman web mereka dipenuhi cacian dan kartun-kartun yang amat mengaibkan nama-nama yang patut dihormati.
 Akhirnya sekarang sebilangan pemimpin golongan ini pula menanggung padah akibat perbuatan mereka. Dulu mereka mengaibkan, sekarang mereka pula diaibkan oleh orang lain dengan cara yang lebih hebat. Malah sebilangan pemblog yang dulu menyokong mereka, kini berpaling tadah menyerang mereka.
Inilah gara-gara perbuatan mereka sendiri. Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. Di dunia sudah dihukum, di akhirat apatah lagi.
Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya:`` Katakanlah kebenaran, sekalipun pahit.’’
Makna hadis ini ialah orang Islam hendaklah menyatakan kebenaran sekalipun ia sangat pahit untuk diterima oleh pendengar. Seharusnya golongan ini hendaklah menggunakan kalam mereka hanya untuk menyatakan kebenaran. Tetapi apabila yang benar dan tidak benar sudah bercampur-aduk, akhirnya mereka sendiri yang turut menanggung kepahitan.
Sekali sekala ada boleh menipu sebilangan orang, tetapi tidaklah sepanjang masa dan tidak semua orang boleh ditipu. Hanya mereka yang ada penyakit dalam hati sahaja boleh ditipu oleh mereka yang bercakap juga kerana berpenyakit hati. Mereka ini sebenarnya sudah ditewaskan oleh syaitan-syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia.
Tetapi apalah yang hendak dihairankan. Salah seorang pemimpin golongan ini pernah secara terbuka menyatakan puaknya sanggup bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan cita-cita politik mereka. Sama ada beliau berjenaka atau serius, beliau telah melakukan kesalahan kerana cakapnya boleh menyesatkan orang lain, selain menyesatkan dirinya sendiri.
Si pemimpin itu terlupa, atau sahaja melupai bahawa Allah telah memperingatkan manusia bahawa kerja Iblis dan tenteranya syaitan adalah menyesatkan anak Adam sehingga ke hari kiamat. Allah juga telah mengisytiharkan bahawa hanya orang-orang yang beriman tidak boleh disesatkan oleh Iblis dan syaitan.
Apakah beriman itu sekadar menunaikan solat lima waktu, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji? Tidakkah menjaga kalam daripada mengumpat, memfitnah, mencaci dan mengaibkan orang lain juga sebahagian daripada ketakwaan kepada Allah? Bolehkah kita patuhi sebahagian daripada ajaran Quran dan menolak separuh lagi?

Ingatlah bahawa kemusnahan akibat salahguna kalam amatlah buruk padahnya kepada rakyat dan negara. Keamanan akan musnah kerana rakyat tidak lagi saling mempercayai. Negara akan terjerumus ke dalam lembah anarki dan huru-hara kerana para pentadbir dikhianati.  Kerja menjahanamkan boleh berlaku dalam masa yang singkat, tetapi usaha memulihkan keadaan akan masa yang sangat lama.
Sebab itulah Allah menjelaskan bahawa memfitnah itu lebih jahat daripada membunuh.
Kepada golongan ini diseru supaya bertaubat kerana Allah Maha Penerima Taubat. Janganlah menyalahgunakan kalam yang diberikan kepada kita sebagai salah satu nikmat kepada makhlukNya yang bernama manusia atau anak Adam. Gunakan hanya untuk kebenaran dan kebaikan.
Bacalah surah Ar-Rahman (27) dan hayatilah apa yang Allah maksudkan:`` Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?’’ 

No comments:

Post a Comment