Thursday, March 17, 2011

Hati,aqal,ihsan,taubat.


Assalamualaikum semua,kali ini saya terlihat satu video yang menunjukkan Jepun dilanda tsunami namun apa yang membuatkan saya kagum dah juga sedih adalah peristiwa dimana anjing sanggup menunggu rakanya yang sedang cedera.Anjing ini kadang membuatkan saya menimbulkan persoalan kepada diri saya.Anjing iaitu Binatang di mana tidak dikurniakan akal fikiran serta perasaan juga boleh bertindak ihsan terhadap rakanya sendiri tetapi manusia pula tidak.Apa yang dapat dilihat sekarang jika dibandingkan dengan manusia adalah sangat jauh berbeza.Cuba kita lihat di Malaysia sudah cukup dimana Malaysia itu sendiri adalah negara islam dan lihat dimana ramai pasangan yang sanggup membuang bayi mereka yang tidak bersalah.Saya berasa hairan kerana sesungguhnya manusia adalah sebaik-baik ciptaan namun ada juga yang memilih untuk mengikut hatinya dari aqal yang dianugerahkan manusia dan lebih-lebih lagi yang membuang bayi itu adalah masyarakat Melayu Islam.Kita seharusnya berfikir dan bertindak waras.Kalau selogik-logiknya ,seorang ibu atau ayah tidak sanggup meninggalkan anaknya dan mebuang anaknya.
Disini dapat dijelaskan dalam petikan al-quran:

“Dan sesengguhnya Kami(Allah) akan isikan neraka Jahanam itu sebahagian daripada golongan jin dan manusia, mereka itu mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami akan ayat-ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak mehu melihat tanda-tanda kekuasaan Allah. Mereka mempunyi telinga, tetapi tidak mahu mendengar (ayat-ayat dan nasihat Allah). Mereka itu tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (al-A'raf 179) 

Mengapa mereka membuang bayi mereka,Adakah mereka malu terhadap manusia lain,Adakah mereka malu kerana mahu membela Maruah mereka sampai sanggup membuang bayi yang tidak bersalah sedangkan binatang tidak berlaku sedimikian?Setiap tindakan yang dilakukan semesti kita  menanggunya kerana Allah telah memberikan kita Iradat (kehendak) .Dari awal Allah telah memberikan kita kehendak untuk memilih jalan yang baik atau buruk namun bagi setiap tindakan akan ada padahnya.Saya mahu katakan,kita bukan hendak malu kepada manusia tapi harus malu dengan Allah.Kita seharusnya gunakan aqal dan hati kita kearah kebaikan iaitu kejalan Allah s.w.t.Kita janganlah mengikut nafsu,jika sudah terlanjur dalam melakukan sesuatu yang buruk,jangan lari dari masalah itu kerana ia sendiri akan mengundang kearah masalah yang lain.Ini adalah dugaan dan dugaan adalah ujian dari Allah s.w.t kepada kita sebagai hambanya.Jika kita lari dari dugaan,maksudnya kita lari dari ujian Allah.Bertaubatlah jika berbuat salah,jangan berhenti memohon taubat kepada Allah s.w.t.Pintu taubat tidak pernah tertutup sehingga hari akhirat dan hingga kita menghembuskan nafas yang terakhir.Jika kita jatuh,bangun dan jalan.Jalan yang benar ialah jalan ke arah Allah.Kenali Awaludin makrifatulah, mengenal awal agama adalah dengan mengenal Allah.
insyAllah yang baik dari Allah dan yang buruk dari saya sendiri.Sensungguhnya hikmah milik Allah.

Bagi mengakhiri entry saya kali ini ,saya ingin menunjukkan video perisitiwa yang berlaku di jepun.Banyak hikmah yang boleh diperoleh.Wassalamualaikum 


Monday, March 7, 2011

Maulana Arif (KEBEBASAN BERSUARA)

Assalamaualaikum,kali ini saya akan post lagi tentang entry Maulana Arif , topik beliau begitu menarik jika dihayati.Agar semua umat islam mengambil iktibar atas apa yang ditulis oleh beliau.Harap semua mendapat manfaat.
JANGAN SALAHGUNA NIKMAT KALAM
``Golongan inilah yang menuntut kebebasan bersuara. Tetapi lihatlah kandungan akhbar yang menjadi suara politik mereka. Hanya dipenuhi dengan tulisan yang memburukkan orang lain, mengumpat, prasangka dan ada kalanya memfitnah.’’
Oleh MAULANA ARRIF
KALAM atau tutur kata adalah kurniaan Allah s.w.t yang amat istimewa kepada manusia. Kalam boleh juga ditakrifkan sebagai kaedah berkomunikasi. Sumbernya adalah akal yang menghasilkan buah fikiran dan dijelmakan melalui mulut dan tangan.
Manusia mula berkomunikasi dengan menggunakan mulut dan bahasa. Melalui perkembangan akal, manusia mencipta tulisan yang dicatat di atas bahan primitif seperti daun, batu, tanah liat, dinding gua dan kulit binatang.
Manusia moden mencipta kertas yang lebih mudah disimpan dan dibawa. Hasilnya ialah manuskrip dalam bentuk buku, risalah, makalah dan surat khabar. Kalam ini dinamakan media cetak.
Perkembangan teknologi menghasilkan alat-alat komunikasi yang lebih sofistikated seperti radio, telivisyen, telefon dan terkini komputer. Lalu dinamakan media elektronik dan media siber.
Pada hari ini segala bentuk media ini diadunkan sebagai kalam yang sangat pantas penyebarannya di bawah teknologi maklumat berkomputer.
Begitulah kehebatan otak manusia menjadikan kalam yang Allah kurniakan begitu pelbagai kegunaan dan pantas penyebarannya. Dalam sekelip mata ia boleh dicapai oleh berjuta pembaca di seluruh dunia. Namun sebagaimana kebanyakan ciptaan manusia, ia dwi kegunaan -- boleh digunakan untuk kebaikan dan juga kejahatan.
Maka berwaspadalah menggunakan kalam. Ia boleh memaju dan memakmurkan negara, tetapi ia juga boleh menyebabkan huru-hara dan porak-peranda. Disebabkan penyebaran maklumat melalui kalam hari ini begitu pantas, kesan baik atau buruknya juga boleh berlaku dalam masa yang singkat.
Lihat sahaja huru-hara yang berlaku di negara-negara Islam sekarang. Bermula di Algeria, ia merebak ke Mesir, Yemen dan Libya. Kalam moden telah membolehkannya berlaku begitu pantas. Sama ada ia membawa kebaikan kepada umat Islam, masa akan memberikan jawapannya.
Dari sudut politik apa yang berlaku di negara-negara Arab itu telah disifatkan sebagai kebangkitan rakyat terhadap pemimpin atau rejim yang terlalu lama memerintah, tidak adil dan menyekat kebebasan. Perkembangan ini memberikan nafas baru kepada golongan penentang dan pembangkang rejim atau pemimpin yang terlalu lama memerintah. Bagi mereka, huru-hara akan melorongkan peluang untuk merebut kuasa.
Di Malaysia yang turut terdedah kepada pengaruh kalam moden, sudah ada suara-suara sumbang yang meramalkan kemungkinan gelombang yang sama akan beralun ke negara ini. Apakah ramalan mereka akan menjadi kenyataan atau sekadar impian?
Puak yang sama berharap gelombang itu akan merebak ke Malaysia dengan alasan di negara ini juga tidak ada kebebasan. Benarkah? Atau ini hanyalah satu strategi untuk meracuni fikiran rakyat supaya membantu mereka menumbangkan kerajaan yang dibenci kononnya kerana sudah terlalu lama memerintah. Disebabkan di Malaysia rakyatnya tidak miskin dan tertekan seperti di negara-negara Arab itu, lalu mereka digula-gulakan dengan ketiadaan kebebasan termasuk kebebasan bersuara.
Benarkan tiada kebebasan bersuara di Malaysia? Apakah golongan ini mengamalkan kebebasan bersuara? Lihat apa yang telah mereka lakukan.
Lihat bagaimana golongan ini menggunakan kebebasan di dunia siber. Internet mereka telah gunakan  sewenang-wenangnya sekian lama untuk memburukkan lawan dengan cara yang bertentangan dengan larangan Allah yang tegas lagi jelas dalam al-Quran.
Anehnya sebilangan mereka mengaku bergama Islam dan beriman kepada al-Quran. Malah ada yang mendakwa mereka lebih Islam daripada orang lain. Tetapi lihat cara mereka berkalam, sama ada di pentas ceramah, dalam akhbar mereka dan di dunia siber.
``Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sessungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu  memakan daging saudaranya yang sudah mati. Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.’’ – 49:12  
Berapa banyak tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh golongan ini ke atas musuh-musuh politik mereka hanyalah berasaskan prasangka. Mereka juga amat gemar mencari-cari kesalahan sehingga ke peringkat memfitnah. Mereka juga suka mengumpat. Sesungguhnya jika beriman, mereka tidak akan melakukan perbuatan ini.
Tetapi mereka terus melakukannya dengan alasan kononnya perkara yang buruk wajib didedahkan kepada umum, sekalipun ke tahap mengumpat. Malangnya sebahgain perkara yang mereka dakwa buruk itu hanyalah berasaskan prasangka sahaja, malah ada kalanya fitnah semata-mata.
Golongan inilah yang menuntut kebebasan bersuara. Tetapi lihatlah kandungan akhbar yang menjadi suara politik mereka. Hanya dipenuhi dengan tulisan yang memburukkan orang lain, mengumpat, prasangka dan ada kalanya memfitnah.
Yang melucukan, salah satu akhbar golongan ini lebih banyak memuatkan iklan `ubat kuat lelaki.’  Apakah seks juga turut menguasai pemikiran mereka?
Suatu masa dulu mereka telah menguasai dunia siber. Lihatlah bagaimana mereka menggunakan internet untuk mengaibkan pemimpin-pemimpin negara, menabur prasangka, meracuni pemikiran rakyat dengan mencari-cari kesalahan orang lain. Blog dan laman web mereka dipenuhi cacian dan kartun-kartun yang amat mengaibkan nama-nama yang patut dihormati.
 Akhirnya sekarang sebilangan pemimpin golongan ini pula menanggung padah akibat perbuatan mereka. Dulu mereka mengaibkan, sekarang mereka pula diaibkan oleh orang lain dengan cara yang lebih hebat. Malah sebilangan pemblog yang dulu menyokong mereka, kini berpaling tadah menyerang mereka.
Inilah gara-gara perbuatan mereka sendiri. Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. Di dunia sudah dihukum, di akhirat apatah lagi.
Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya:`` Katakanlah kebenaran, sekalipun pahit.’’
Makna hadis ini ialah orang Islam hendaklah menyatakan kebenaran sekalipun ia sangat pahit untuk diterima oleh pendengar. Seharusnya golongan ini hendaklah menggunakan kalam mereka hanya untuk menyatakan kebenaran. Tetapi apabila yang benar dan tidak benar sudah bercampur-aduk, akhirnya mereka sendiri yang turut menanggung kepahitan.
Sekali sekala ada boleh menipu sebilangan orang, tetapi tidaklah sepanjang masa dan tidak semua orang boleh ditipu. Hanya mereka yang ada penyakit dalam hati sahaja boleh ditipu oleh mereka yang bercakap juga kerana berpenyakit hati. Mereka ini sebenarnya sudah ditewaskan oleh syaitan-syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia.
Tetapi apalah yang hendak dihairankan. Salah seorang pemimpin golongan ini pernah secara terbuka menyatakan puaknya sanggup bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan cita-cita politik mereka. Sama ada beliau berjenaka atau serius, beliau telah melakukan kesalahan kerana cakapnya boleh menyesatkan orang lain, selain menyesatkan dirinya sendiri.
Si pemimpin itu terlupa, atau sahaja melupai bahawa Allah telah memperingatkan manusia bahawa kerja Iblis dan tenteranya syaitan adalah menyesatkan anak Adam sehingga ke hari kiamat. Allah juga telah mengisytiharkan bahawa hanya orang-orang yang beriman tidak boleh disesatkan oleh Iblis dan syaitan.
Apakah beriman itu sekadar menunaikan solat lima waktu, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji? Tidakkah menjaga kalam daripada mengumpat, memfitnah, mencaci dan mengaibkan orang lain juga sebahagian daripada ketakwaan kepada Allah? Bolehkah kita patuhi sebahagian daripada ajaran Quran dan menolak separuh lagi?

Ingatlah bahawa kemusnahan akibat salahguna kalam amatlah buruk padahnya kepada rakyat dan negara. Keamanan akan musnah kerana rakyat tidak lagi saling mempercayai. Negara akan terjerumus ke dalam lembah anarki dan huru-hara kerana para pentadbir dikhianati.  Kerja menjahanamkan boleh berlaku dalam masa yang singkat, tetapi usaha memulihkan keadaan akan masa yang sangat lama.
Sebab itulah Allah menjelaskan bahawa memfitnah itu lebih jahat daripada membunuh.
Kepada golongan ini diseru supaya bertaubat kerana Allah Maha Penerima Taubat. Janganlah menyalahgunakan kalam yang diberikan kepada kita sebagai salah satu nikmat kepada makhlukNya yang bernama manusia atau anak Adam. Gunakan hanya untuk kebenaran dan kebaikan.
Bacalah surah Ar-Rahman (27) dan hayatilah apa yang Allah maksudkan:`` Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?’’ 

Maulana Arif (SULUNG)

Assalamualaikum,kali ini saya akan postkan tentang entry Maulana Arif iaitu seorang pengkritik dan juga pendakwah.Kebanyakan idea & pendapat beliau disalurkan di akhbar Mingguan Malaysia namun saya telah mendapat kebenaranya untuk publish post.Topic kali sangat menarik dimana beliau menekankan bagaimana orang islam telah tenggelam ke dasar dunia dan makin lupa akan Allah s.w.t.Renungkanlah ye :)



DUNIA Islam terus berkecamuk. Selepas huru-hara yang dicetuskan oleh apa yang disifatkan oleh media Barat sebagai kebangkitan rakyat, dua pemimpin negara Arab  telah  tumbang dan beberapa lagi dalam keadaan terancam.
Bermula dengan kejatuhan Presiden Tunisia, selepas itu Presiden Mesir dan pergolakan yang sama sudah merebak ke Libya, Yemen dan Bahrain.  Perkembangan ini dikhuatiri akan terus merebak ke lain-lain negara Arab. Teori domino menjadi kenyataan semula?
Kita umat Islam di Malaysia sedang menyoroti perkembangan ini dengan penuh minat.  Menarik perhatian kita kerana negara-negara berkenaan adalah negara Islam, yang pemimpin dan majoriti rakyatnya beragama Islam.
 Apakah pergolakan yang berlaku akan mengubah sistem pemerintahan dan membawa kebaikan kepada umat Islam di negara-negara berkenaan? Jawapan kepada soalan ini belum berkepastian. Yang pasti pemimpin-pemimpin yang sudah  lama memerintah telah ditumbangkan dan akan digantikan dengan pemimpin baru yang belum tentu dapat mengembalikan keamanan dan memenuhi tuntutan rakyatnya.
Agak menarik betapa pergolakan berdarah mutakhir ini melibatkan lebih banyak negara Islam. Barangkali perkembangan terbaru  ini membuatkan kita terlupa kepada nasib Afghanistan, Palestin dan Iraq.
Segalanya memungkinkan kita bertanya, apakah ini merupakan bala bencana atau sekadar ujian yang akan memberikan kekuatan baru kepada Islam dan umat Islam untuk bangkit semula? Hanya Allah s.w.t  yang Maha Mengetahui dan kita hanya boleh menunggu putaran masa untuk menonjolkan sedikit demi sedikit jawapan kepada soalan ini.
Perkembangan di dunia Islam pada zaman moden sungguh mencubit pemikiran. Kita lihat betapa yang terkaya di dunia (berdasarkan pendapatan per kapita) adalah negara-negara Islam yang dikurniakan Allah dengan limpahan rezeki minyak petrol dan gas.


Malangnya, yang termiskin juga negara-negara Islam. Tidak perlu diperincikan satu persatu nama negara-negara itu kerana umum sangat mengetahuinya.
Kenapa boleh jadi begitu? Sepatutnya negara-negara Islam yang kaya  menolong negara-negara seagama yang miskin sama ada dalam bentuk bantuan, pinjaman atau pelaburan. Ke mana mengalirnya rezeki yang Allah limpahkan kepada mereka?
Salah satu rukun Islam ialah membayar zakat yang tujuannya supaya orang-orang yang kaya boleh membantu saudara seagama yang miskin.
Setakat ini fardu membayar zakat kita laksanakan di peringkat  individu dan syarikat. Kenapa tidak diperluaskan kepada peringkat antara negara?  Ingin kita menjemput para pemimpin,  ilmuwan dan ulamak Islam membincangkan perkara ini. Banyak negara Islam yang mempunyai lebihan pendapatan berbilion matawang masing-masing.
Inilah hakikatnya. Kita orang Islam mengaku bahawa agama yang kita anuti dan Allah redhai ini adalah addin atau cara hidup. Tetapi kebanyakan kita tidak mengamalkan cara hidup Islam sepenuhnya sama ada di peringkat individu, masyarakat, negara dan antara negara.
Jika umat Islam dalam satu rumah boleh bertelagah dan berpecah, apatah lagi di peringkat daerah, negeri, negara dan antarabangsa.
Inilah keadaan sebenar yang menimpa umat Islam pada hari ini. Bunuh membunuh, tipu menipu, jatuh menjatuh, fitnah memfitnah dan pelbagai lagi perbuatan yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w . Musuh disokong, tetapi saudara seagama dizalimi.
Dan setiap tahun kita menyambut Maulidur Rasul dengan bersalawat dan berarak. Balik ke rumah atau pejabat, sebilangan kita kembali berperangai seolah-olah kita bukan umat Muhammad. Tidak usahlah kita cerminkan diri kita dengan semua sifat terpuji Rasulullah. Ambil sahaja bab benar (sidik) dan amanah, betapa ramai yang gagal mencontohi dua sifat mulia baginda ini. Lihat siapa yang banyak melakukan rasuah?


Mutakhir ini kita sesama kita sudah bertelagah pula mengenai sama ada Maulidur Rasul patut disambut besar-besaran kerana ia bukan fardhu. Tidak cukup dengan banyaknya perbezaan fahaman dan pendapat yang belum selesai, kita tokok satu lagi bibit permusuhan sesama kita.
Kenapa umat Islam boleh jadi begini? Betapa Islam bermula daripada seorang insan bernama Muhammad akhirnya berkembang ke seluruh dunia sebagai agama yang paling pesat pertumbuhannya, tetapi umatnya kini lemah dan daif. Satu ketika dulu empayar Islam berkuasa hingga ke Eropah, akhirnya empayar ini runtuh, dan sebuah demi sebuah negara Islam dijajah oleh bukan Islam.
Pada hari ini kita lihat pula sebuah demi sebuah negara Islam yang merdeka dilanda pertumpahan darah dan huru-hara yang memusnahkan  kesejahteraan dan menggelapkan masa depan.
Kenapa jadi begini sedangkan kita sepatutnya umat yang memimpin?  Mudah-mudahan Allah membukakan pintu hidayatNya supaya kita dapat mencungkil jawapannya. Insya-Allah kita akan sambung bicara minggu depan.
Akhir kalam renungilah maksud ayat al-Quran ini.
``Maka datanglah sesudah mereka (nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w dan umat mereka) pengganti yang menyia-nyiakan solat dan mengikut hawa nafsu, maka mereka kelak akan menerima bencana.’’  - 19:59
Salam hormat dari hamba.